Reka bentuk Lebuh raya capaian terkawal

Lebuhraya 401 di selatan Ontario, Kanada. Lebuh raya ini merupakan contoh reka bentuk sistem pengumpul-ekspres, yang menampilkan empat laluan merentasi Toronto.Autoroute A10 Perancis berhampiran Orléans menampilkan bahu jalan keras dan telefon kecemasan. Garisan putus-putus yang bagi menandakan bahu jalan keras adalah lebih panjang daripada garisan putus-putus antara lorong-lorong trafik biasa di lebuh raya Perancis, yang turut berfungsi sebagai tanda rujukan keselamatan buat pemandu; jarak mengekor yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya dua garisan putus-putus.

Menurut definisi yang ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads, lebuh raya ekspres tiada persilangan searas dengan jalan raya lain, landasan kereta api, denai mahupun lorong.[3] Namun, jambatan boleh gerak seperti Jambatan Interstate di Interstate 5 antara Oregon dengan Washington, masih memerlukan pemandu berhenti untuk memberi laluan kepada lalu lintas kapal. Persilangan antara lebuh raya dengan jalan raya lain biasanya dicapai melalui pengasingan aras sama ada melalui jejambat ataupun terowong.

Capaian terhadap lebuh raya biasanya disediakan hanya di persimpangan bertingkat berlainan aras, walaupun persimpangan kiri masuk/kiri keluar boleh juga digunakan untuk sambungan terus ke jalan tepi. Dalam kebanyakan kes, reka bentuk persimpangan bertingkat yang canggih membolehkan peralihan yang lancar tanpa gangguan antara lebuh raya yang bersilang dengan jalan raya arteri yang sibuk. Namun, ada kalanya penting untuk keluar ke jalan permukaan biasa untuk beralih dari satu lebuh raya ke satu lebuh raya yang lain. Misalnya ialah peralihan antara Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang E18 dengan Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 melalui pekan Batu 11 Cheras.[12]

Had laju secara amnya lebih tinggi di lebuh raya capaian terkawal, malah ada lebuh raya capaian terkawal yang tiada had laju (misalnya rangkaian autobahn Jerman). Oleh kerana had laju yang tinggi mengurangkan masa membuat keputusan, lebuh raya ekspres biasanya dilengkapi dengan papan tanda penunjuk yang lebih banyak daripada jalan raya biasa, dan papan tanda itu sendiri secara fizikalnya lebih besar. Papan tanda penunjuk biasanya dipasang pada jejambat ataupun pada gantri supaya pemandu boleh melihat di mana setiap lorong akan pergi. Nombor pintu keluar biasanya diwartakan pada persimpangan bertingkat, sama ada mengikut jarak lebuh raya ataupun mengikut urutan dari hujung ke hujung. Di sesetengah kawasan, terdapat kawasan rehat awam di lebuh raya, di samping telefon kecemasan di bahu jalan pada setiap selang jarak tertentu (misalnya setiap 2 km di Malaysia).

Di Malaysia, lebuh raya ekspres menggunakan penanda kilometer yang berbeza daripada yang digunakan di laluan persekutuan dan laluan negeri. Sementara jalan raya biasa menggunakan batu penanda kilometer yang ditempatkan setiap kilometer, lebuh raya ekspres pula menggunakan papan tanda seksyen yang ditempatkan setiap 100 m.[13]

Gambar rajah menunjukkan bentangan lorong dan jalan

Keratan rentas

Lebuh raya dua lorong, biasanya tanpa pembahagi jalan, ada kalanya dibina apabila jumlah lalu lintas adalah kurang ataupun hak jalan terhad; ia direkabentuk agar mudah ditukarkan kepada lebuh raya empat lorong penuh. Contohnya ialah Lebuhraya Karak E8/FT2 yang asalnya merupakan lebuh raya dua lorong sebelum dinaiktaraf kepada lebuh raya empat lorong penuh. Lebuh raya sebegini ada kalanya disebut sebagai jalan super two. Sementara itu, lebuh raya ekspres penuh pula biasanya mempunyai sekurang-kurangnya 2 lorong bagi setiap hala; beberapa lebuh raya yang sangat sibuk pula boleh memiliki sehingga 16 atau lebih lorong. Lebuh raya yang sangat lebar ini mungkin menggunakan lorong pengumpul-ekspres berasingan bagi mengasingkan lalu lintas terus dengan lalu lintas tempatan. Kadang-kadang, jalan pengumpul/pengagih, versi pendek bagi lorong tempatan, mengalihkan konflik jalinan antara dua persimpangan yang rapat ke jalan lain ataupun menghapuskannya.

Kecuali di sesetengah lebuh raya dua lorong, pembahagi jalan ataupun jalur median mengasingkan aliran trafik bagi arah bertentangan. Jalur median ini boleh jadi semudah kawasan berumput, ataupun turut menyertakan pengadang jalan seperti tembok Jersey ataupun "tembok tinggi Ontario" bagi mencegah pelanggaran berdepan.[14] Di sesetengah lebuh raya, dua laluan lebuh raya dibina di jajaran berbeza; ia dilakukan bagi memanfaatkan koridor yang ada di kawasan bergunung ataupun untuk menyediakan koridor yang lebin sempit melalui kawasan perbandaran yang padat.

Kawalan masuk

Kawalan masuk jalan berkaitan dengan status perundangan yang mengehadkan jenis kenderaan yang boleh menggunakan lebuh raya, di samping reka bentuk jalan raya yang mengehadkan tempat yang boleh dicapai.

Lebuh raya ekspres biasanya dihadkan kepada kenderaan bermotor dengan kuasa kuda atau berat minima; papan tanda masuk ke lebuh raya biasanya melarang penunggang basikal, pejalan kaki dan penunggang kuda serta ada kalanya menetapkan had laju minimum. Ada kalanya kenderaan yang biasanya dilarang masuk ke lebuh raya ekspres dibenarkan menggunakan kemudahan sama dengan hak jalan yang sama, contohnya laluan pejalan kaki yang dibina di sepanjang jambatan berpiawaian lebuh raya ekspres. Salah satu contoh ialah Jambatan Sultan Ahmad Shah II di Lebuhraya Pantai Timur E8, yang turut dilengkapi sepasang lorong motosikal bagi membolehkan penunggang motosikal dan basikal di dua buah kampung di Temerloh, Pahang menyeberangi Sungai Pahang tanpa perlu melencong jauh.[15]

Kawasan Rehat dan Rawat De Lucht di Lebuhraya A2 Belanda - sebuah hentian rehat lazim dengan perkhidmatan (bahan api, kemudahan istirahat dan tandas). Satu-satunya jalan masuk ialah melalui lebuh raya tersebut.

Kajian menunjukkan bahawa 85 peratus nahas jalan raya berlaku semasa membelok atau melintasi persimpangan searas.[16] Lebuh raya ekspres menghapuskan hampir kesemua titik konflik sebegini kecuali di jalan susur masuk dan keluar—yang mana, sekurang-kurangnya di lebuh raya di mana menunggang basikal tidak dilarang, mempunyai ruang dan jarak penglihatan mencukupi untuk penunggang basikal dan pemandu kereta. Satu analisis kemalangan di Arizona menunjukkan tiada masalah keselamatan dengan menunggang basikal di lebuh raya. Kurang daripada satu nahas jalan raya melibatkan kenderaan bermotor dengan basikal setahun yang direkodkan di hampir 3,200 bahu jalan kilometer (2,000 mi) yang dibuka kepada penunggang basikal di Arizona.[17]

Jalan raya arteri utama selalunya mempunyai kawalan masuk separa, yang bermaksud jalan tepi akan bersilang dengan jalan raya utama secara searas dan bukannya melalui persimpangan, tetapi jalan tersebut mungkin tidak dihubungkan terus dengan jalan raya utama, dan pemandu mesti menggunakan jalan yang bersilang untuk memasuki premis hartanah masing-masing. Namun, ada kalanya jalan raya arteri boleh juga mempunyai persimpangan bertingkat dengan jalan raya arteri lain.[3]

Rujukan

WikiPedia: Lebuh raya capaian terkawal http://german.about.com/library/blgermyth08.htm http://www.nytimes.com/1995/06/06/nyregion/built-t... http://www.nytimes.com/1995/06/18/nyregion/bronx-r... http://www.ukmotorists.com/motorway_signs.asp http://archive.etsc.eu/documents/copy_of_PR%20Moto... http://www.greenvillesc.gov/publicworks/forms/Wood... http://onlinemanuals.txdot.gov/txdotmanuals/rdw/fr... http://blogjalanraya.blogspot.my/2011/11/lebuhraya... http://blogjalanraya.blogspot.my/2012/06/segamat-k... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt...